TERBARU Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak ada hasilnya jika beliau terima pelawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai program 100 hari Pakatan Rakyatperintah Putrajaya.

"Kalau hendak debat kita mesti ada sesuatu hasil dari debat itu, saya tidak nampak ada hasil.Yang penting ialah penilaian daripada rakyat,"katanya menjawab soalan Agendadaily ketika diserbu wartawan selepas meraikan skuad Harimau Malaya di kediamannya Seri Perdana Putrajaya tengahari Rabu.

Najib bagaimanapun berkata beliau tidak halang orang lain termasuk Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk berdebat dengan Anwar.

"Ia (debat) terpulang kepada diri masing-masing. Saya tidak akan halang,"katanya lagi.

Sementara itu LUKMAN ABDULLAH melaporkan ketika menjawab soalan berkenaan dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman program BN Youth Job Fair 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi Rabu Khairy mengulangi cabarannya untuk berdebat dengan Anwar.

“Ini bukan soal kerajaan...lidah rasmi kerajaan lawan pembangkang...ini adalah antara dua ahli Parlimen, kita bincangkan soal ekonomi dan masa depan ekonomi negara, saya jemput (Datuk Seri) Anwar kalau nak betul-betul serius tentang masa depan ekonomi dan beliau boleh pertahankan janji-janji mereka tanpa membangkrapkan negara Malaysia...maka saya jemput untuk berbahas dan berdebat”, katanya.

Mengulas lanjut mengeni cabaran Anwar ajak Perdana Menteri berdebat, Khairy berkata, “saya kata tak perlu PM debat sebab PM sedang buat kerja…, kita pun buat kerja dengan umumkan 20,000 peluang kerja yang bakal kita tawarkan melalui pesta kerjaya ini nanti”.

“Daripada PM membazir waktu berdebat dengan Anwar, saya tawarkan diri untuk berdebat dengan Anwar mengenai ekonomi.Dia nak cakap soal perancangan ekonomi 100 hari pertama pakatan rakyat dan dasar ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan BN, saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan selaku Pengerusi Pemuda BN sambut walaupun beliau tidak 'offer' saya tapi saya tawarkan diri, sekarang terpulang pada Anwar samada terima atau tidak”.

Khairy juga mengulas persoalan siapa beliau untuk berdebat dengan Anwar yang ditimbulkan dalam twitter.

Katanya, “saya ahli parlimen dan Anwar pun ahli parlimen, saya menang jawatan dalam UMNO tapi Anwar tidak menang dalam partinya dan dalam parlimen pun saya selalu berbahas dengan beliau, apa salahnya kita 'open debate' pasal ekonomi.”

Sementara itu menjawab satu soalan lain Khairy menggesa Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan PEMANDU bertindak segera memberi penjelasan terperinci dakyah pembangkang yang tidak realistik seperti Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat.

Ini untuk elakan rakyat jadi keliru dengan dakyah seumpama itu.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...