Datuk Seri Najib Razak berkata, kekalahan pihak pembangkang bukan kerana tekanan Barisan Nasional (BN), sebaliknya disebabkan pelbagai pendekatan dan dakyah yang disebarkan mereka ditolak rakyat.
Perdana Menteri berkata, pembangkang seharusnya menerima hakikat itu walaupun sebenarnya mereka lebih awal menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan ceramah, selain menyebarkan pelbagai isu dan menabur janji menerusi blog, emel dan SMS."Jika rakyat tidak sokong mereka dan trend didapati memihak kepada BN, ini bukan disebabkan kita menekan mereka (pembangkang), sebaliknya ini bererti rakyat menolak mereka. "Ia juga bermakna kempen mereka tidak diterima rakyat," katanya pada sidang media pada majlis Mesra Bersama Warga FELDA di Jengka 25 di sini, semalam.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan pembangkang yang memohon pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau memberi undi simpati kepada mereka kerana mendakwa ditindas dan mangsa keadaan berikutan tindakan BN.
Mengenai calon PAS, Hassanuddin Salim yang pernah dua kali kalah dalam pilihan raya, Perdana Menteri berkata, BN tidak akan memandang ringan terhadapnya, tetapi akan terus berusaha untuk meraih sokongan yang banyak.
"Mereka ada perkiraan, jika letak calon seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS yang juga Pengarah Jentera Pilihanraya Pembangkang DUN Kerdau), yang pernah dua kali kalah dan jika kalah kali ketiga, tentunya berat untuk mereka mahu letakkan Tuan Ibrahim dalam hierarki kepimpinan mereka pada masa depan," katanya.
Ditanya suasana berkempen pada pilihan raya kecil DUN Kerdau, Najib berkata:
"Saya nampak mood baik, tetapi kita tidak boleh pandang ringan ancaman mereka yang menentang kita dan pastikan segala usaha yang patut dilakukan serta strategi kita tepat untuk pastikan kemenangan besar kepada BN," katanya.
Sementara itu, menjelaskan lawatan beliau ke setiap negeri mulai bulan depan, Najib berkata, ia bagi memenuhi janji yang dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.
Beliau berkata, peringkat awal sudah bermula apabila mengadakan lawatan ke Kedah dan diteruskan ke pilihan raya kecil DUN Tenang, selain ke Belaga di Sarawak baru-baru ini.
"Ia adalah siri lawatan ke negeri dan Timbalan Perdana Menteri juga akan melakukan lawatan sama," katanya.
Mengenai sama ada ia mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum, Najib berkata:
"Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa saja," katanya.
0 Responses so far.
Post a Comment