Ini kisah benar yang menyebabkan kami para media yang buat liputan di Mesir terkejut beruk. Bukan apa, bila dapat tahu, pelajar Malaysia berdemo sama.
Tambah mengejutkan kami apabila diberitahu yang berdemo itu 14 orang yang berumur 19 tahun. Cerita dari mulut ke mulut itu menyebabkan kami yang baru tiba dengan pesawat misi bantuan Air Asia kira-kira jam 4 petang waktu Mesir (10 malam Malaysia) jenuh cari mana budak-budak berani tu.
Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah semasa kami sampai itu ratusan pelajar Malaysia tengah duduk santai atas jalan. Berkumpul berdasarkan negeri masing-masing.
Cari punya cari jumpalah budak-budak pengajian perubatan dari Universiti Alexandria, Mansoura dan Al Azhar itu, kami mula temubual seorang-seorang.
Mereka mengaku, mereka demo, ramai-ramai, lelaki dan perempuan.


Tapi bukan nak suruh siapa-siapa letak jawatan, sebaliknya geram dengan pengurusan syarikat penerbangan EgyptAir yang asyik tangguhkan penerbangan pulang ke Malaysia.
Menurut Zulaika Zamri, 19, mereka sudah tidur di lapangan terbang itu sejak 27 Januari lagi.
“Kami datang ke sini untuk hantar kawan balik, tiba-tiba kami terperangkap, jadi rusuhan dan sebagainya.
“Kami pun risau, nak balik sama, masa itu masih boleh hubungi keluarga, keluarga di Malaysia kumpulkan duit beli tiket dan bagi kod pada kami, satu tiket harga lebih RM2,000.


“Masalahnya apabila asyik tangguh saja, sampailah pada 1 haribulan, kami ramai-ramai buat playcardtanda bantahan,” kata dia ceria.
Rupa-rupanya mereka bukanlah berdemo melalak menjerit macam yang selalu kita tengok dalam TV. Sebaliknya lebih kepada protes diam.
Nasib mereka baik, kerana sebaik kami tiba, sewaktu pelajar-pelajar Malaysia sedang dipindahkan ke Jeddah dalam penerbangan kedua, mereka ‘diselit’ sama.
Sebanyak 14 orang pelajar yang berani dan terkandas di lapangan terbang selama seminggu.


“Kami dah jadi macam Tom Hanks dalam filem The Terminal, duduk menunggu tak tahu nak buat apa, selepas kedutaan tahu kami di sini mereka mula hantar makanan,” kata Ahmad Hasif Rusdi penuh semangat.
Memang jelas, mereka ini bukan budak jenis penakut, pada troli beg diletakkan lukisan bendera Malaysia penuh bangga.
Apabila sah mereka dibawa pulang, seorang daripada mereka bercakap penuh bangga kepada pihak media.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha hantar pesawat bawa kami pulang.


“Kepada ibu bapa kami dan rakyat Malaysia, jangan bimbang, walaupun susah kami bersatu hati di sini,” katanya.
Semua mereka adalah, Zulaika Zamri, Muhamad Hafizie Syahman Ruslin, Nurul Ain Abdul Khani, Aiman Amalina Noor Aminuddin, Zaherin Zamri, Siri Aisyah Ahmad Faizal, Nadia Farhana Mohamad Zahari, Syed Yahya Almahdaly Syed Ahmad.
Muhamad Zyazani Dzani, Muhamad Hudzaifah Kamaruzaman, Muhammad Hazim Zaharuddin, Mohamad Arif Mohamad Zahari Ahmad Hasif Rusdi dan Faez Rasyad Amli.
Mereka masing-masing dari Selangor, Johor, Kedah dan Pahang.


Menurut Ketua Kelab Putera 1 Malaysia Datuk Azeez Abdul Rahim, ibu-bapa pelajar, jangan bimbang, semua pelajar akan dibawa pulang.
“Arahan Perdana Menteri pada saya jelas, jangan tinggal seorang pun, kita akan bawa pulang berperingkat-peringkat secepat mungkin,” katanya.
Beliau juga minta keluarga pelajar mendapat maklumat dari sumber rasmi kerana berita khabar angin hanya akan menyusahkan mereka sendiri.
Menjelas lanjut kata Azeez, antara khabar angin yang diberitahu pelajar kepada beliau adalah selepas pelajar dibawa ke Jeddah mereka perlu bayar tambang sendiri jika mahu pulang ke Malaysia.


“Kerajaan akan tanggung semua kos, bahkan duit cukai lapangan terbangpun kita tidak minta pelajar bayar, jangan percaya khabar angin dan takut hendak dipindahkan semata-mata percaya kepada berita bohong itu,” kata beliau.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...