KUALA LUMPUR: Orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan dilema yang besar apabila mereka tidak lagi boleh berkata tentang bangsa sendiri kerana akan dilabelkan sebagai rasis.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dilema ini bukan disebabkan oleh orang lain tetapi orang Melayu sendiri kerana mereka tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri dan sentiasa mengalah serta mengundur diri apabila berlaku sesuatu krisis.

"Kita jadi serba salah, kalau diam diri maka pendapat yang dikeluarkan mungkin akan diterima, kalau kita jawab mungkin akan dituduh rasis, saya bukan rasis saya cuma sebut benda yang benar, bila sebut bangsa kita maka kita akui bangsa itu, kita patut bermegah kita adalah orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Simposium Dilema Melayu 'Perspektif dan Konklusi' anjuran Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir berkata sifat mudah mengalah itu sebenarnya akan merugikan orang Melayu dan sekiranya mereka terus berpegang dengan nilai hidup sebegini, lama-kelamaan kedudukan orang Melayu di negara ini akan terhakis.

Beliau berkata orang Melayu perlu mengamalkan nilai hidup yang lebih berkualiti dengan berusaha, menuntut ilmu dan sentiasa merebut peluang yang ada kerana elemen itulah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu kaum itu.

"Kita diberi peluang, tetapi tidak ambil peluang itu, saya tertanya-tanya bila pergi universiti mengapa ramai mahasiswa wanita, mana pergi lelaki, adakah mereka ini bodoh atau tidak rebut peluang untuk baiki masa depan mereka," katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya orang Melayu bijak menggunakan peluang yang diwujudkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan sebaiknya, mereka bukan sahaja akan mendapat 30 peratus kekayaan negara malah lebih daripada itu.

Beliau berkata DEB perlu diteruskan kerana orang Melayu belum mencapai kuota yang ditetapkan, untuk itu, orang Melayu perlu terus berusaha bagi mengelakkan mereka menjadi bangsa termundur di negara ini.

"Pihak tertentu iaitu kerajaan akan pertahankan kedudukan kita, tetapi akan sampai satu hari nanti mereka tidak dapat lagi hendak pertahankan dasar-dasar negara.

"Ini boleh berlaku kerana orang Melayu begitu ghairah dengan majoriti yang ada pada mereka sehinggakan nak jadi Perdana Menteri, nak pergi Putrajaya, kalau hendak pergi sangat, pergilah," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata orang Melayu kini sanggup menggadai apa sahaja yang mereka ada untuk mendapatkan kuasa dan memecah belahkan orang Melayu sehingga menjadi lemah.

Mengenai ketuanan Melayu yang sering disebutkan mutakhir ini, katanya orang Melayu perlu berusaha, mempunyai sumber kewangan yang halal dan cukup sekiranya mahu mengekalkan konsep tersebut.

"Kalau nak jadi tuan kena lengkapkan diri dengan ilmu dan kecekapan, apakah dapat jadi tuan sedangkan orang lain suruh kita buat kerja yang bukan kerja tuan, kalau nak majukan diri, mesti tolak nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan pada masa kini," katanya.

Dr Mahathir juga mengingatkan orang Melayu agar tidak terlalu taksub untuk menambah pendapatan walaupun negara kini berhasrat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi kerana ia boleh mendorong kepada perbuatan rasuah.

"Kita perlu teruskan perjuangan untuk beri tempat yang mulia, ataupun takut dituduh sebagai rasis dan berdiam diri, biarkan orang lain menidakkan hak kita di Semenanjung Tanah Melayu," katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya dilema Melayu hendak diselesaikan, orang Melayu perlu memikirkan sifat-sifat yang ada pada diri mereka dengan membuang segala sikap buruk dan menambah sikap yang lebih baik yang tiada dalam diri orang Melayu itu sendiri.-

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...