AKHIRNYA Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan. Satu episod krisis di negara itu sudah pun selesai. Apakah yang akan berlaku di Mesir selepas ini - sama ada kembali aman atau terus bergolak.
Hosni tidak menunggu sehingga September ini untuk berundur. Rakyat Mesir gembira dengan peletakan jawatan Hosni yang telah 30 tahun memerintah. Beliau tumbang bukanlah kerana faktor pemerintahan yang terlalu lama semata-mata. Kualiti kepimpinan juga menjadi isu yang menyebabkan Mesir berdepan dengan banyak masalah terutama ekonomi yang telah lama membelenggu rakyat. Mesir adalah nama yang hebat dalam sejarah ketamadunan lampau. Tetapi dalam sejarah moden, negara itu tidak diurus dengan cemerlang. Pengurusan yang lemah adalah antara punca banyak negara Islam gagal memakmurkan rakyat dan memajukan negara.
Mujur Malaysia tidak berada dalam kelompok negara sedemikian. Rekod kepimpinan yang cukup baik sejak merdeka, tradisi membela rakyat dan komitmen penambahbaikan sepanjang masa menjadikan Malaysia negara Islam contoh. Pengiktirafan dunia terhadap kecekapan pengurusan Malaysia lebih ketara di bawah kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad.
Namun apa yang berlaku di Mesir harus menjadi pengajaran bernilai. Gejala rasuah, pengangguran dan tekanan kos hidup, jika tidak ditangani dengan berkesan boleh membawa padah.
Kita perlu bersyukur kerana Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak berorientasikan rakyat dalam pentadbirannya. Pendekatan dan gaya kepimpinannya lebih menyakinkan bagi Malaysia menangani cabaran amat kompleks pada masa kini.
Bukan mudah untuk memimpin negara dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang penuh dengan pembangkang yang mahu memastikan apa yang dirancang oleh kerajaan akan gagal, tetapi Najib telah membuktikan keupayaannya setakat ini meskipun banyak lagi yang perlu dilakukan. Melihat cara Perdana Menteri mengolah kepimpinannya secara strategik yang hasilnya sudah pun kita rasakan.
Dr. Mahathir turut mengakui kebolehan Najib dalam ucap utamanya pada Simposium Dilema Melayu di PWTC, Kuala Lumpur semalam. ‘‘Ada harapan baru (di bawah kepimpinan Najib),’’ katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin.
Maka sebarang cubaan pembangkang khususnya Anwar Ibrahim untuk menyamakan situasi di Mesir dan di Malaysia, tidak akan berjaya sama sekali . Realitinya Malaysia bukan seperti Mesir.
Anwar dalam satu ucapan di Amerika Syarikat baru-baru ini menyatakan bahawa ramai individu seperti Hosni di Malaysia. Beliau sebenarnya kecewa kerana banyak cubaannya untuk menggerakkan demonstrasi jalanan tidak mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini. Mengapa demonstrasi jalanan tidak memercikkan gelombang besar adalah kerana Anwar sendiri mempunyai banyak masalah serius termasuk isu moral yang agak kritikal. Agaknya cubaan itu tidak mendapat keberkatan kerana orang yang memimpin itu sendiri pun tidak betul.
Malah bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari mendakwa kenyataan Ketua Pembangkang itu sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri.
Antara persamaan antara Anwar dan Hosni adalah, Anwar tidak kurang mewahnya dan mempunyai kekayaan yang hampir setara dengan Hosni. Ini berdasarkan gaya hidupnya termasuk kekerapan ke luar negara. Jika dihitung Anwar lebih banyak berada diluar negeri. Nampaknya strategi pre-emtif Anwar menggunakan isu Hosni bagi mengalihkan perhatian sebenar kepada banyak isu yang menimpa beliau, ternyata makan tuan. Jika dilihat daripada perspektif lebih meluas, Anwar lebih menjadi ancaman kepada umat Islam berbanding Hosni. Setidak-tidaknya rakyat Mesir tidak mempunyai pemimpin seperti itu di negara mereka.
0 Responses so far.
Post a Comment