Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai kaki temberang dan merapu dalam memberi kenyataan dengan mengaitkan pentadbiran kerajaan Perak dengan isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri baru di Selangor.

Malah, beliau turut mengandaikan Nizar mungkin bercita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri sehingga sanggup mencampur adukkan isu di negeri lain semata-mata untuk memperlihatkan seolah-olah berlaku kelemahan pentadbiran kerajaan Perak demi kepentingan politik beliau.

“Nizar temberang dan bercakap macam orang tidak mengaji (berpendidikan). Saya tidak mahu melayan dan biar dia hendak bercakap apa. Saya tak faham orang begini yang mahu mengaitkan hal Selangor sama dengan Perak.

“Dia memang kaki temberang tetapi saya tidak tahu macam mana orang masih hormatkan dengan dia. Mungkin sebab dia hendak jadi perdana menteri.

“Ketika dia (Nizar) sebagai menteri besar dulu, Setiausaha Kerajaan Negeri masih ada di situ, masa saya bekerja (Menteri Besar) masih setiausaha kerajaan negeri yang sama. Jadi, kenapa mahu samakan babit saya bersama dengan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Nizar yang menasihatkan kerajaan Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendirian mereka untuk menolak pelantikan Mohd Khusrin kepada rakyat.

Nizar dilaporkan berkata, beliau menjangkakan isu berkenaan tidak akan berakhir dengan memihak kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagaimana yang pernah berlaku di Perak apabila beliau sendiri pernah cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.

“Saya telah cuba dua kali,” kata Nizar merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi usaha itu tidak berhasil.

Justeru Zambry berkata, beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan tidak benar daripada Nizar kerana yakin rakyat lebih memahami keadaan sebenar berlaku.

“Kalau saya hendak menjawab secara akademik atau rasional mengenai perkara itu, dia (Nizar) tidak akan faham sebab dia cakap merapu. Bagaimanapun, saya percaya orang Perak tidak percaya cakap dia,” katanya.BN Perak


0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...