c

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin kepimpinan baru UMNO Kedah yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu merampas kembali negeri ini, jika tiada amalan cantas mencantas dalam parti itu.

Beliau berkata, hanya satu masalah yang akan menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal dalam pilihan raya iaitu sabotaj dalaman di kalangan ahli serta pimpinan parti itu sendiri seperti sebelum ini.

“Saya yakin (BN) boleh rampas kembali Kedah...boleh memang boleh, tapi jika tidak ada cantas mencantas, kalau tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan menang.

“Yang ini jadi masalah bila orang lain naik, yang tak naik cantas...bila tak naik ni naik pula yang lain cantas dia, jadi tabiat buruk ini patut dihapuskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jubli Perak GIATMARA di GIATMARA Prima Kubang Pasu, semalam.

Beliau mengulas peluang BN untuk merampas kembali Kedah selepas pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah yang baru iaitu Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah serta Timbalannya, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Dr Mahathir menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau terbabit dalam mempengaruhi keputusan pucuk pimpinan UMNO dalam melantik anaknya sendiri, sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Kedah atas tujuan untuk mempersiapkan tokoh muda itu sebagai Menteri Besar pada masa depan.

Katanya, daripada dulu beliau tidak campur tangan kerjaya politik anaknya dan setiap keputusan yang dibuat adalah daripada Perdana Menteri sekarang serta pemimpin UMNO ketika ini.
“Saya tidak pernah campur tangan dengan nasib baik atau buruk anak saya dalam perjalanan politik mereka, tidak sama sekali,” katanya.

"Waktu jadi Perdana Menteri dulu pun saya larang anak saya terbabit politik kerana tidak mahu orang kata kerana dia anak Perdana Menteri. Sekarang bapa dia dah tak jadi Perdana Menteri pun, tapi masih tidak pernah campur tangan.

"Kalau boleh saya nak bagi anak saya jadi Perdana Menteri terus, tapi tidak akan berlaku dan tidak boleh macam itu," katanya.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...