Jika dahulu Datuk Dr Hasan Mohd Ali dan Ronnie Liu cetuskan kontroversi fasal rampasan arak dan kebenaran menjual arak di premis terbuka di Shah Alam, kali ini berkenaan larangan orang Islam bekerja di premis menyajikan minuman keras.
Krisis terbaru ini ekoran keputusan larangan itu yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Bagaimanapun, Liu sebagai Exco Perumahaan dan Kerajaan Tempatan menggunakan kuasanya mengarahkan MPSJ menarik semula larangan tersebut.
Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa Liu sewenang-wenangnya menggunakan kuasanya sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Andai perbuatan ini dijadikan kebiasaan, nampak bahawa kerajaan PKR Selangor akan ‘menghalalkan’ apa sahaja perkara yang memberi keuntungan kepada mereka.
Masalahnya tentu kepada PBT kerana kuasa mereka dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan ‘tidak laku’ dan boleh disekat bila-bila masalah oleh Liu.
Berbalik soal larangan terbaharu ini, Liu memberitahu umat Islam boleh bekerja di premis menyajikan arak di sebalik larangan MPSJ.
Siapa Liu untuk bercakap hal ehwal agama dan peraturan orang-orang Islam?
Kenapa beliau tidak serik-serik untuk campur tangan hal agama lain?
Justru itu, tidak hairanlah bagi Dr Hasan, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam mendapati tindakan MPSJ mengeluarkan larangan itu adalah wajar.
Dalam kenyataan menyatakan respons terhadap arahan Liu itu, Pesuruhjaya PAS Selangor itu menegaskan sebagai exco yang menjaga hal ehwal Islam mendapati bahawa tindakan tersebut wajar serta mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan MPSJ yang telahpun menguatkuasakan peraturan ini.
Beliau difahamkan, peraturan ini telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan dari semua pihak termasuk ahli-ahli majlis yang bukan Islam.
Maka sesuatu yang menghairankan apabila Liu yang mengesahkan pekeliling menarik balik larangan itu semalam menyatakan “kerajaan negeri tidak menyedarinya.”
"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” katanya, sambil menambah isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat exco Rabu lalu.
Adalah mustahil ahli majlis dalam MPSJ tidak merujuk kepada Liu perkara itu terlebih dahulu.
Bagi Dr Hasan di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, peruntukan dibuat tidak membenarkan orang-orang Islam melibatkan diri di dalam urusan penjualan minuman keras.
“Tindakan di dalam undang-undang kecil PBT juga terdapat persyaratan yang boleh menggunapakai peraturan yang serupa di dalam urusan pemberian lesen kepada pengusaha-pengusaha penjualan minuman keras tersebut,” katanya.
Hasan berkata kedua-dua peruntukan itu dengan sendirinya boleh digunakan untuk mencegah orang-orang Islam daripada terjebak dengan hal-hal yang berkaitan dengan minuman keras yang diharamkan oleh agama Islam.
“Perlu disebutkan larangan ini terkhusus kepada orang-orang Islam tanpa melibatkan orang-orang yang bukan Islam. Oleh itu tidak perlu ada kebimbangan daripada mana-mana pihak tentang perlaksanaan peraturan-peraturan seperti di atas,” katanya.
Beliau berharap penguatkuasasan yang dijalankan oleh MPSJ itu merupakan antara usaha mengekang kegiatan maksiat melibatkan minuman keras yang begitu menjadi- jadi terutamanya yang melibatkan masyarakat Islam di negeri ini.
Namun adakah Liu boleh menerima pendapat Dr Hasan begitu sahaja dalam isu ini?.
Dalam isu rampasan arak oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dahulu, Liu turut campur tangan urusan PBT dengan mengarahkan arak tersebut dipulangkan semula.
Malah wakil rakyat DAP yang penuh kontroversi serta tewas pemilihan jawatan parti di Selangor baru-baru ini membenarkan arak di jual di premis-premis terbuka.
Hal yang mendapat tentangan daripada Dr Hasan itu berlarutan hampir dua minggu sebelum kedua-dua mereka terpaksa ‘berdamai’ kononnya atas alasan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.
Dalam satu sidang media yang diatur kerajaan negeri, mereka bersalaman tanda masalah itu sudah selesai tetapi dengan isu terbaru ini, Dr Hasan dan Liu pasti bermasam muka satu sama lain.
Adakah sekali lagi mereka terpaksa berpura-pura bagi penyelesaian isu terbaru ini?
Jika ya, nampaknya PAS terpaksa mengalah lagi kepada DAP walaupun perkara yang dipertahankan adalah perkara benar.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...