PENDUDUK membakar gambar Ahli Dewan Undangan Negeri, Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa menderhaka kepada Sultan Selangor ketika demonstrasi di Jalan Kebun Klang, semalam.

Lebih 300 penduduk Kampung Jalan Kebun di sini hari ini, berhimpun secara aman bagi membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Perhimpunan itu juga dilakukan bagi menyuarakan sokongan mereka terhadap pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang merupakan anak jati Kampung Jalan Kebun di sini sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) baru.

Para peserta turut melafazkan ikrar taat setia kepada Sultan Selangor seterusnya menuntut Shuhaimi agar segera memohon maaf secara terbuka kepada baginda selain meletakkan jawatannya sebagai ADUN.

"Kami berasa malu dengan tindakan Shuhaimi kerana sebagai orang Melayu dan juga ADUN, beliau tergamak berbuat demikian kepada Sultan Selangor.

"Beliau sanggup dipergunakan oleh orang lain demi kepentingan politik peribadi," kata anggota jawatankuasa penduduk di kampung itu, Buang Abdul Basir di sini hari ini.

Shuhaimi dalam blognya baru-baru ini didakwa berkata, pelantikan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sementara itu, para peserta perhimpunan dilihat turut membawa sepanduk yang tertulis perkataan 'Shuhaimi Petualang Bangsa', 'Jangan Cabar Kesultanan Melayu' dan 'Shuhaimi Penderhaka'.

Dalam demonstrasi itu, mereka juga membakar dan membaling kasut ke arah poster Shuhaimi sambil melaungkan kata-kata, 'Shuhaimi letak jawatan'.

Lagu kebesaran negeri Selangor turut dinyanyikan peserta demonstrasi sebagai tanda taat dan setia mereka kepada Sultan Sharafuddin.

Beberapa anggota polis turut kelihatan di kawasan itu bagi memantau perjalanan demonstrasi aman yang dianjurkan sendiri oleh penduduk Kampung Jalan Kebun itu.

Dalam pada itu, Buang berkata, keputusan Sultan Sharafuddin memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK Negeri adalah tepat memandangkan beliau mempunyai rekod kerja cemerlang sepanjang berkhidmat di negeri ini.

"Penduduk Kampung Jalan Kebun sangat menghormati Mohammed Khusrin kerana beliau adalah anak jati sini.

"Mohammed Khusrin telah berjaya dalam kerjayanya dan sekali gus meletakkan beliau sebagai contoh ikutan yang baik kepada anak muda di kampung ini.

"Semua penduduk kampung ini tahu yang Mohammed Khusrin berasal dari keluarga yang kuat agama. Beliau ialah anak kepada seorang imam di Kampung Jalan Kebun ini," katanya

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...