Ikut ceritanya isu kontroversi bunyi azan di Masjid Al Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, dekat Pantai Dalam, Kuala Lumpur sudah dijadikan modal pembangkang di kawasan pilihanraya kecil Dewan Undangan negeri Tenang di Johor.

Ini semata-mata kerana peguam Cina yang membuat komplen mengenai bunyi azan itu adalah ahli MCA dan suratnya ditujukan ke Jabatan Perdana Menteri.

Begitulah cepat sekali ada pihak yang cuba ambil kesempatan sekalipun sah tiada arahan perlahankan pembesar suara azan dikeluarkan oleh kerajaan maupun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Seminggu selepas kontroversi itu berlarutan termasuk soalan siapa arahkan bunyi azan di Masjid itu diperlahankan, peguam berkenaan Ng Kian Nam muncul untuk menamatkan kontroversi dengan meminta maaf secara terbuka kepada semua umat Islam atas kesilapannya ‘komplen’ bunyi azan.
"Setiap orang ada kelemahan termasuk saya. Saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. Saya tulis surat kerana tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya dalam sidang media di pejabat UMNO Bahagian Lembah Pantai, Kuala Lumpur petang Isnin.

Sebelum ini, Ng mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, pengerusi Masjid Al- Ikhlasiah, Ikram Mohd Yusof serta wakil Perkasa dan Pekida.

Beliau tinggal di Pantai Hill Park yang terletak satu kilomiter dari masjid itu.

Selepas sembahyang Jumaat lepas lebih 100 jemaah dan beberapa NGO telah mengadakan demonstrasi aman membantah terhadap komplen Ng itu.Dalam demo itu namanya,alamat rumahnya serta nombor telefonnya ditulis pada kain pemidang.

Ng berkata, beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.
Menurut peguam yang juga ahli MCA itu, beliau menulis surat bertarikh 20 Disember lalu kepada Jabatan Perdana Menteri tanpa niat mempertikaikan azan yang merupakan elemen penting dalam sembahyang umat Islam.
 


“Saya mengaku kelemahan saya. Sebagai seorang bukan Muslim, semasa menulis surat tersebut, saya tak tahu bezakan antara azan dan ceramah. Maka saya ingin memohon maaf secara tulus ikhlas jika kekeliruan ini menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan khasnya umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Selain itu katanya, beliau menjulis surat sebagai generasi baru negara ini kerana yakin salah faham rakyat berbagai agama boleh diatasi melalui hubungan erat, bertimbangrasa dan harmoni.

Beliau berharap masyarakat dapat menilai isu ini secara terbuka dan menerima permohonan maaf beliau serta tidak membesar-besarkan perkara itu lagi.


Ng mengakui sudah berpindah sementara waktu dari rumahnya kerana khuatir keselamatannya sejak isu azan itu dibahaskan banyak pihak termasuk bantahan daripada Perkasa dan Pekida.

“Saya ada sedikit takut kerana perkara ini sudah diketahui umum. Tetapi selepas dialog hari ini, mereka yang berkenaan sudah terima permohonanan maaf saya, saya percaya akan dapat jalin hubungan rapat dengan mereka selepas ini,” katanya.

Menurut peguam itu, beliau akan kembali semula menetap di rumahnya yang didiami sejak 10 tahun lalu.

Ng menjelaskan, surat komplen itu tiada kaitan dengan MCA sebaliknya ditulis ada dasar pengundi di Pantai Dalam.

Sementara itu, Raja Nong Chik yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai berpendapat, isu itu disensasikan dan sengaja diperbesar-besarkan dan menyebarkan perkara yang boleh mencetuskan ketakutan kepada Ng.

Beliau mengingatkan hal seumpama ini boleh menakutkan pelabur dan pelancong asing.

Katanya bayangkan kesannya jika dilaporkan misalnya di New York Times di Amerika.

Katanya, pihak terbabit sudah berjumpa dan menyelesaikan salah faham tersebut dan Ng boleh tinggal dengan selamat di kawasan Pantai Hill Park.

Menurut Raja Nong Chik, tiada arahan memperlahankan suara azan itu.

“Jawi (Jabatan Agama Islam Selangor) kata tiada arahan, saya pun tidak beri arahan, kalau tiada pihak beri arahan, bermakna ada salah fahamlah... hanya silap komunikasi,” ujarnya.

Mesej beliau kepada pihak tertentu terutama pembangkang, jangan mempolitik isu berkaitan agama lagi kerana isu tersebut sudah mula dijadikan modal pilihan raya kecil DUN Tenang, Labis Johor.

Raja Nong Chik meminta permohonan maaf Ng diterima oleh semua pihak.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...