Sedih teman mendengar kisah pelajar tahfiz yang ke pusat pendidikan tersebut untuk tujuan murni, dikerah menjadi 'hamba' pihak institusi pendidikan tersebut untuk melakukan jualan amal sampai tengah malam.

Teman pernah didatangi pelajar tahfiz yang berada dalam keadaan dilema seperti ini menjual kitab-kitab dan ada yang menjual minyak angin. Dari riak wajah mereka, teman dapat lihat mereka keletihan, kerunsingan dan kebingungan dengan apa yang sedang mereka lakukan, sebelum datangnya sebuah van mengambil mereka untuk dibawa pulang sebelum dihantar lagi ke destinasi lain pada hari yang lain.

Teman tak faham mengapa pihak terbabit tergamak memperalatkan anak-anak yang seharusnya menghabiskan masa menumpukan perhatian ke atas proses pembelajaran ini untuk keuntungan mereka.

SHAH ALAM – Seorang bekas penuntut di pusat tahfiz, Ambang Kota, Lukut mendakwa, dia pernah dikerah seperti seorang hamba untuk menjalankan kegiatan jualan amal sehingga lewat malam setiap hari.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Naufal, 21, memberitahu, dia mula menuntut di pusat tahfiz tersebut ketika berusia 11 tahun sebelum berpindah ke pusat tahfiz yang sama di Yan, Kedah ketika berusia 13 tahun.
Menurut Naufal, sepanjang enam tahun berada di kedua-dua pusat tahfiz berkenaan, dia diperlakukan seperti seorang hamba dengan setiap pelajar mesti mencapai sasaran jualan sehingga RM300 sehari.
“Jika ia gagal dicapai, kami akan dimarahi dan dikenakan denda. Saya pernah didenda ketuk ketampi sampai lutut saya lembik serta tidak bermaya.
“Biasanya, kami yang tinggal di Yan ketika itu, akan dihantar sekitar Kuala Lumpur selama tiga hari untuk melakukan aktiviti jualan,” ceritanya sambil menyatakan dia meninggalkan pusat tahfiz berkenaan ketika di tingkatan 4 dan kembali ke pangkuan keluarga kerana tidak tahan diperlakukan seperti hamba.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...