alt
MERLIMAU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan sikap pemimpin pembangkang yang bukan saja tidak rasional apabila enggan mengiktiraf kejayaan dan pembangunan dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN), malah sering menabur fitnah dan dakyah semata-mata untuk memancing undi pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang juga gemar menokok tambah berita semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Katanya, dalam suasana pilihan raya kecil, pihak pembangkang langsung tidak menyentuh inisiatif kerajaan atau usaha kerajaan melonjakkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjana pendapatan rakyat berlipat kali ganda. “Jika pembangkang bersikap rasional mereka mesti iktiraf mana yang betul, mana usaha yang baik, mana pencapaian dicatat oleh negara kita dalam pelbagai bidang dan kemajuan dinikmati oleh rakyat, ini harus diakui.

“Bagaimanapun, kita tahulah 'peel' (perangai) pembangkang, baik PAS, Keadilan (Parti Keadilan Rakyat), DAP, apa saja yang kita lakukan tidak betul, malah ditokok tambah, mereka buat pembohongan.

“Mungkin bagi mereka apa gunanya menyebut kejayaan itu kerana ia secara tidak langsung mengiktiraf apa yang dilakukan oleh kerajaan, sebaliknya mereka lebih suka mencanang berita buruk, fitnah dan pembohongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan Jamuan Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum di sini, semalam.
Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada 34 pelajar cemerlang kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang memperoleh semua A dalam PMR tahun lalu. Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, Roslan Ahmad.

Muhyiddin juga menyifatkan fatwa yang dikeluarkan pembangkang setiap kali berlangsung pilihan raya juga boleh membawa kesan kepada akidah umat Islam di negara ini.

0 Responses so far.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...